Pages

Friday, March 12, 2010

G.U.I.L.T.Y

Friday, March 12, 2010
I have found this one article and really touch me.I am dedicate this link to few fellas that i really care about.U guys should read it ;)

Seseorang yang melakukan kesalahan kemudian merasa dirinya bersalah lebih baik dari mereka yang beramal soleh kemudian merasa dirinya suci bersih.

Yang terbaik di antara keduanya ialah mereka yang beramal soleh, kemudian merasa dirinya lemah tidak berdaya kecuali dengan pertolongan dan kekuatan dari Allah semata. Mereka juga sentiasa beristighfar dari dosa yang disedari mahupun tidak disedari.

Tatkala terdetik rasa bersalah dan menyesal dalam diri yang telah melakukan dosa, di sana Allah sedang memandangmu dengan penuh kasihan belas dan kasih sayang.

Rasa menyesal itu merupakan taufik dari Allah agar dirimu tidak meninggalkanNya jauh dan semakin jauh.

Rasa bersalah yang menghantui itu pula merupakan dorongan dari Allah agar segera bertaubat kepadaNya.

Syaitan amat takut pada setiap hamba yang menyedari kesalahannya. Iblis tidak mahu manusia bertaubat dari perbuatan salah yang pernah dilakukan. Iblis tahu bahawa Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang pada setiap dosa-dosa kecuali dosa syirik.

Daripada benih ‘menyesal’ dan ‘rasa bersalah’ itu, Allah mahukan pohon taubat dari kita.

Mari sama-sama kita hayati pesanan dan bujukan dari Allah ini pada kita, makhlukNya. Dengan lemah lembut Allah berkata,
يا ابن آدم إنك ما دعوتني ورجوتني غفرت لك على ما كان فيك ولا أبالي، يا ابن آدم لو بلغت ذنوبك عنان السماء ثم استغفرتني غفرت لك ولا أبالي، يا ابن آدم إنك لو أتيتني بقراب الأرض خطايا ثم لقيتني لا تشرك بي شيئا لأتيتك بقرابها مغفرة .
Maksudnya:

Wahai Anak Adam!

Selagimana engkau merayu padaku dan mengharapkan daku, Aku ampunkan segala kesalahanmu dan Aku tidak pedulikannya lagi.

Wahai Anak Adam!

Sekiranya dosa-dosamu memenuhi langit, kemudian engkau memohon maaf kepadaKu, nescaya Aku maafkan dirimu serta Aku tidak pedulikannya lagi.

Wahai Anak Adam!

Sekiranya engkau datang kepadaKu dengan kesalahan sepadat isi bumi, kemudian engkau menemuiKu dalam keadaan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh isi bumi pula.

Hadis direkodkan oleh Imam al-Tirmizi. Dia mengatakan hadis ini Hasan Sahih.

Syarat-syarat Taubat Diterima di Sisi Allah

1. Menyesal bersungguh-sungguh terhadap dosa yang pernah dilakukan dan berazam untuk tidak kembali lagi melakukan dosa tersebut.

2. Memohon ampun walau sebesar mana dosa yang pernah dilakukan dengan penuh harapan agar Allah memaafkan.

Allah berjanji mengampunkan dosa-dosa melalui ayat 110 Surah al-Nisa’,

وَ مَنْ يَّعْمَلْ سُوْٓءًا اَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهٗ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللّٰهَ يَجِدِ اللّٰهَ غَفُوْرًا رَّحِيْمًا‏

Maksudnya:

Sesiapa yang melakukan perkara buruk atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan dapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah berjanji mengabulkan doa melalui ayat 60, Surah Ghafir,
وقال ربكم ادعوني أستجب لكم إن الذين يستكبرون عن عبادتي سيدخلون جهنم داخرين

Maksudnya:

Allah telah berkata; Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku perkenankan doamu.

Syarat doa diperkenankan ialah dengan berdoa sepenuh hati.

ادعوا الله وأنتم موقنون بالإجابة، واعلموا أن الله لا يستجيب دعاء من قلب غافل لاه

Maksudnya:

Berdoalah kepada Allah dalam keadaan
kamu yakin Allah akan memperkenankannya. Sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan tidak bersungguh.

Hadis direkodkan oleh Imam al-Tirmizi.

3. Tauhid yang benar. Maksudnya akidah kita betul dengan mengesakan Allah sebagai Tuhan yang layak disembah.

Bagaimana anda rasa setiap kali selepas mandi? Apatah lagi jika anda mandi menggunakan sabun dan syampu yang aromanya semerbak wanginya?

Badan terasa segar dan cergas kembali, bukankah begitu?

Begitulah hidup kita, dosa-dosa ialah kotoran yang menggelapkan hati menyebabkan hidup terasa tidak ceria dan bersemangat.

Basuhlah dosa-dosa dengan solat dan taubat.

Hargailah nikmat ‘menyesal’ dan ‘rasa bersalah’ yang Allah campakkan dalam diri. Sambutlah lambaian Allah tersebut dengan kembali kepadaNya dengan sebenar-benar kembali.

Taubat yang bersungguh dan doa yang penuh mengharap itu akan menyegarkan jiwamu semula.

Pedulikan apa kata orang padamu. Apa yang penting Allah sangat luas rahmat dan keampunanNya.

Ingatilah, saat sakaratulmaut menjemput kita, Allah satu-satunya zat yang dapat menyelamatkan kita.

Walau sejuta pujian atau sejuta kejian manusia terhadap kita sedikit pun tidak dapat membantu kita saat penuh debaran itu.

Pandanglah hari ini dan hari yang akan datang kerana Allah sudi mengampunkan dosa-dosamu.

Selaklah lembaran ‘Surat Cinta Ilahi’ yakni al-Quran setiap hari.
Di sana, akan kau temui siraman demi siraman kasih Allah padamu yang tidak bertepi
.

Akhir kata, Allah yang Maha Mengetahui tahu bahawa akan ada saat-saat manusia dihambat rasa putus asa dan lemah semangat. Justeru awal-awal lagi Allah rakamkan dalam al-Quran ayat 53 hingga ayat 54 Surah al-Zumar,

قُلْ يٰعِبَادِىَ الَّذِيْنَ اَسْرَفُوْا عَلٰٓى اَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوْا مِنْ رَّحْمَةِ اللّٰهِ‌ؕ اِنَّ اللّٰهَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ جَمِيْعًا‌ؕ اِنَّهٗ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ‏

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Ayat 53

وَاَنِيْبُوْۤا اِلٰى رَبِّكُمْ وَاَسْلِمُوْا لَهٗ مِنْ قَبْلِ اَنْ يَّاْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنْصَرُوْنَ‏
Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah sepenuh hati kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan lagi. Ayat 54

وَاتَّبِعُوْۤا اَحْسَنَ مَاۤ اُنْزِلَ اِلَيْكُمْ مِّنْ رَّبِّكُمْ مِّنْ قَبْلِ اَنْ يَّاْتِيَكُمُ الْعَذَابُ بَغْتَةً وَّاَنْتُمْ لَا تَشْعُرُوْنَۙ‏
Serta turutilah sebaik-baik apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhanmu (yakni al-Quran sebagai panduan hidup), sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedangkan kamu tidak menyedarinya.
Ayat 55

Saya mencadangkan anda baca penerangan Hadis 42 dalam buku Syarah Hadis 40 Imam Nawawi. Pengarangnya ialah Dr Mustafa al-Bugho dan Muhyiddin Misto.
Terdapat syarahan panjang lebar berkenaan taubat dan keluasan rahmat Allah.

Insya Allah, dengan ilmu mengenal Allah, kita akan lebih dekat denganNya dan semakin berwaspada dengan bisikan-bisikan iblis. Iblis hanya mahu menambah kawan di neraka sedangkan Allah mahu kita menikmati ketenangan hidup di dunia dan bahagia di akhirat.

Apa yang baik milik Allah jua.

Ummu Abbas.


p/s: http://keranacinta.wordpress.com/2009/03/28/rasa-bersalah-merupakan-nikmat-dari-allah/

No comments:

::Ocean Of Emotions:: © 2014